dadada

October 31, 2020

Pertama

Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia

Sinar Keimanan Buat Khalid Al Walid

3 min read

OLEH: FADHILAH AL YAHYA

“Ya Allah, ampuni dosa Khalid Al Walid segala yang telah berlalu kerjanya menyekat Islam dahulu ketika jahiliyyah” Begitulah doa Rasulullah S.A.W ketika Khalid R.A menerima Islam.

Khalid R.A. adalah daripada Bani Makhzum yang kaya dan terkenal. Ketika jahiliyyah cukup terkenal dengan sifat kepuakan yang kuat menyebabkan beliau menentang Islam secara keras, tetapi kuasa Allah telah menetapkan beliau mendapat sinar keimanan Islam.

Ayahnya Al Walid Bin Mughirah adalah orang yang paling kaya zaman itu di Kota Mekah, memiliki emas, ladang kurma yang luas, perniagaan koporat dan mempunyai ramai hamba. Di rumah yang mewah lahirlah Khalid Al Walid pada tahun 34 sebelum Hijri.

Beliau bertubuh sasa, tinggi, dada bidang dan bahu yang besar. Ketika Rasulullah S.A.W menyebarkan Islam, Khalid Al Walid membenci Islam kerana beliau takut kedudukan hebatnya hilang dan Rasulullah S.A.W akan disanjung penduduk Mekah.

Ketika perang Uhud, panji pihak Quraish disebelah kanan diserahkan kepada Khalid Al Walid, beliau mengetuai serangan menentang tentera Islam yang menyebabkan tentera Islam kalah, beliau telah menggunakan teknik serang hendap berkuda.

Ketika sebelum berlakunya perjanjian Hudaibiyyah, Khalid Al Walid mengetuai 200 kumpulan berkuda untuk melihat Rasulullah S.A.W dan umat Islam yang berada di Hudaibiyyah. Ketika tentera Khalid sampai, Rasulullah S.A.W dan para sahabat sedang tenang menunaikan solat zohor. Terdetik di dalam hatinya:

“Aneh aku ini musuh mereka berada di hadapan mereka, namun mereka tetap menunaikan solat tanpa gentar, sudah pasti ada sesuatu kuasa yang melindungi mereka.

Allah Maha Berkuasa telah menghendaki kebaikan kepada Khalid Al Walid, tiba-tiba beliau merasakan sayang kepada Islam, tidak ada peperangan yang beliau tidak pergi menentang tentera Islam, kesemuanya beliau sertai menentang Islam tetapi bila pulang daripada medan perang, beliau akan rasa resah gelisah.

Sehinggalah tiba satu hari datang surat kepadanya yang diutus oleh abangnya yang telah menerima Islam. Kandungan surat tersebut ialah:

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya aku merasa pelik melihat perangai engkau kenapa engkau tidak mahu mengenali Islam, gunakan otak engkau. Tidak sepatutnya seseorang itu tidak mengerti apa itu Islam.”

Suatu hari Rasulullah S.A.W bertanya kepada aku:

“Dimanakah Khalid?”

Maka aku jawab kepada Rasulullah S.A.W;

“Suatu hari nanti Allah akan membawa Khalid datang kepada kita”

Rasulullah S.A.W menjawab;

“Tidak sepatutnya orang seperti Khalid tidak tahu Islam itu apa, kalaulah Khalid menggunakan kepakarannya menentang orang Islam untuk menentang orang kafir semula alangkah bagusnya, nescaya kita akan lebih baik lagi. Wahai adikku Khalid Al Walid cepat ikut kami ke Madinah.”

Surat inilah yang menyemarakkan hati Khalid Al Walid untuk ke Madinah dan beliau rasa gembira Muhammad bertanya di manakah aku. Suatu malam beliau telah bermimpi berada di kawasan yang kering kontang dan sempit, tiba-tiba aku keluar daripada kawasan itu dan berada di kawasan yang menghijau cantik. Seakan mimpi itu memberi petanda agar beliau berhijrah ke Madinah menerima Islam.

Sewaktu Khalid Al Walid keluar untuk menemui Rasulullah, beliau bertemu dengan Uthman Bin Abi Talhah dan Amru Al Asr, kawan baiknya yang turut kuat menentang Muhammad. Mereka bertiga mempunyai hajat yang sama, iaitu ingin menemui Rasulullah S.A.W bagi menyatakan keislaman mereka.

Sampai sahaja di Madinah mereka bertemu dengan abang kepada Khalid Al Walid dan membawa mereka bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

Sewaktu Khalid Al Walid bertemu muka dengan Rasulullah S.A.W, baginda tersenyum gembira. Beliau memberikan salam kepada Rasulullah S.A.W dan berkata;

“Sesungguhnya aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Engkau Muhammad pesuruh Allah”

Lalu Rasulullah  S.AW. berkata;

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada engkau dan aku mengharapkan keislaman engkau ini memberikan kebaikan kepada Islam.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *