dadada

October 31, 2020

Pertama

Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia

Ja’far At Tayyar Syahid Di Medan Mu’tah

3 min read

OLEH: FADHILAH AL YAHYA

Saidina Ja’afar Bin Abi Talib adalah sepupu kepada Nabi Muhammad S.A.W, beliau adalah abang kepada Saidina Ali. Beliau dilahirkan sekitar 25 tahun selepas tahun Gajah. Usianya dianggarkan lebih muda sekitar 20 tahun dari Rasulullah dan 10 tahun lebih tua daripada Saidina Ali.

Kehidupan ummat Islam di Kota Mekah telah menerima tekanan hebat oleh puak Quraish. Hinggalah suatu hari keadaan bertambah kritikal, Rasulullah telah mengarahkan Ja’far untuk mengetuai kumpulan Muslim, dianggarkan seramai 80 orang untuk berhijrah ke Habsyah. Rombongan mereka telah menumpang sebuah kapal untuk merentasi laut Merah yang terbentang luas. Alhamdulillah, pelayaran mereka selamat berlabuh di Habsyah dan mereka bebas beribadah di kota tersebut.

Berlalulah beberapa tahun setelah Islam berjaya dan Rasulullah memerintah Madinah, Rasulullah meminta agar Ja’afar dan umat Islam Mekah yang berada di Habsyah untuk kembali ke Mekah.  Maka gembiralah mereka semua atas kejayaan itu dan mereka akan kembali ke tanah kelahiran mereka.

Pada bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah bersamaan Ogos 629 Masihi telah berlaku perang di medan Mu’tah berdepan dengan Kristian Romawi. Perang ini tercetus apabila pada asalnya Rasulullah telah menghantar Al Haris Bin Umair bersama surat utusan untuk bertemu dengan pemimpin Rom, namun datang seorang kafir telah mengikat Al Haris dan dipenggal leher. Tindakan itu menyebabkan Rasulullah berduka cita dan telah menghantar 3 000 tentera Islam yang perlu menghadapi 100 000 tentera musuh.

Herculus, maharaja Rom, melantik adiknya Tyodor bagi menjadi General pasukan perang. Manakala Rasulullah melantik tiga orang panglima perang iaitu Zaid Bin Harithah, Ja’afar Bin Abi Talib dan Abdullah Ibnu Rawahah.

Zaid telah memulakan peperangan dan memegang panji Islam, kerana semangat yang tinggi inilah membuatkan para tentera Muslim bertambah semangat dalam melancarkan peperangan. Peperangan yang sengit telah berlaku dalam suasana yang hingar bingar itu tiba-tiba sebatang tombak dilemparkan dan mengenai tubuh Zaid hingga jatuh ke tanah lalu syahid kerana kehilangan banyak darah akibat tusukan panah itu. Belum sempat panji jatuh dari tangan Zaid, Saidina Ja’far telah bergegas mengambil panji Islam.

Peperangan ini dapat disaksikan oleh Rasulullah di Madinah dengan kuasa Allah. Baginda memberitahu kepada para sahabat :

“Kini panji Islam dipegang oleh Ja’afar di tangan kanannya dan tangan kirinya beraksi lincah menyerang musuh, kemudian datang musuh memotong tangan kanannya, beliau kini memegang panji di tangan kirinya, oleh kerana serpihan tangan kanannya mengganggu untuk beliau bergerak maka beliau telah meletakkan di bawah dan dipijak dengan kakinya lalu dipisahkan. Kali kedua tangan kirinya pula terkena libasan pedang musuh dan terputus. Ja’afar telah mengepit panji dengan lengannya tanpa dua tangan dan panji masih berkibar tinggi hinggalah lebih 90 tusukkan di bahagian depan tubuh Ja’afar dan panji bertukar ke Abdullah Bin Rawahah. Ja’afar diberikan air oleh sahabat namun beliau menjawab beliau sedang berpuasa dan mahu meneruskan puasanya, kerana beliau ingin berbuka di syurga nanti.”

Keadaan Ja’afar yang terlampau sakit, akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhir di medan Mu’tah. Rasulullah terdiam seketika dan tiba-tiba baginda bangkit dan berkata:

“Waalaikassalam ya Ja’afar, itu Ja’afar beliau telah digantikan dengan dua sayap oleh Allah untuk terbang berkeliling di syurga.” Sejak itu Saidina Ja’afar digelar At Tayyar iaitu pemilik dua sayap.

Rasulullah bertemu dengan Asma’ isteri Saidina Ja’afar At Tayyar dan memberitahu :

“Wahai Asma’, Ja’afar sedang terbang bersama dengan ramai malaikat dan mengucapkan salam kepada kamu.”

Pengajaran daripada kisah Saidina Ja’afar At Tayyar ini adalah sikap amanah para sahabat Rasulullah kepada Allah, jelas terbukti dalam kesusahan tiada kedua-dua tangan Ja’afar masih memegang panji Islam kerana beliau masih bernyawa, tidak disia-siakan amanah yang besar sebagai panglima Islam.

Ja’afar At Tayyar panglima yang hebat di medan perang masih berpuasa, malah dalam keadaan nazak beliau masih tidak mahu berbuka puasa kerana beliau yakin akan ke syurga dan mahu berbuka di syurga.

Sungguh luar biasa kisah ini, jika dilihat zaman kini umat Islam tanpa segan silu tidak berpuasa di bulan Ramadhan tanpa sebab, tetapi sahabat Rasulullah kuatnya pergantungan diri kepada Allah masih berpuasa sunat ketika perang.

Saidina Ja’afar dikurniakan oleh Allah dengan dua sayap dan dapat terbang di syurga, cukup hebat beliau telah menjadi juruterbang pada 14 abad dahulu.

Jauh jika mahu dibandingkan dengan juruterbang masa kini yang tidak mampu membawa pesawat sendiri menembusi jauh ke luar daripada lapisan bumi cuma hanya mampu tembusi batasan tertentu yang dekat dengan bumi. Tetapi juruterbang Ja’afar At Tayyar mampu menembusi alam ini menuju ke syurga.

Semua ini adalah dengan kekuasaan dan kehebatan Allah buat hamba-Nya yang yakin kepada Nya dan memperjuangkan Islam. Waallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *